BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 29, 2010

Rehatkan Minda, Tenangkan Diri

Dengan Nama Allah, Penguasa Langit dan Bumi

Kadang-kadang aku suka menyendiri. Duduk bersendirian di kawasan yang tiada @ kurang orang. Sambil duduk berfikir tentang macam-macam perkara, kadang-kadang aku baca surat khabar. Sekejap baca akhbar, sekejap aku perhatikan alam sekitar, sekejap lagi aku perhatikan gelagat orang. Macam-macam tafsiran yang aku buat terhadap apa yang aku perhatikan.

Memang naluri manusia, dalam keadaan tertentu kita perlukan ruang untuk menyendiri; tanpa ada gangguan daripada makhluk lain terutamanya yang bergelar manusia. Menyendiri untuk 'berdua' denga Illahi, juga untuk muhasabah diri, menyendiri untuk berfikir dan mendapat idea yang lebih kreatif, menyendiri untuk kurangkan marah, dan segala macam alasan untuk kita bersendirian.

Petang tadi aku pergi menyendiri lagi. Temp
at yang aku selalu pergi pada waktu petang ialah di Taman Riadah Kuala Kangsar. (aku sendiri yang letak nama ni. Aku tak tau nama sebenar taman ni. Masa kecik-kecik dulu aku panggil 'Taman Kanak-kanak' sebab ada kawasan permainan kanak-kanak kat sini). Kawasan ini memang sesuai untuk tenangkan fikiran, terutamanya jika orang tak ramai. Boleh jalan-jalan tepi sungai, duduk di bawah pokok-pokok bunga, tengok air Sungai Perak yang mengalir, memancing pun boleh.

Untuk tatapan anda semua, di bawah aku hidangkan gambar-gambar pemandangan di kawasan tersebut yang sempat aku rakamkan. Jika anda melawat Kuala Kangsar, jangan lupa untuk singgah ke taman ini. Lokasinya berdekatan dengan Jam Besar dan berhadapan dengan SMK Raja Perempuan Kelsom. Jalan-jalan juga, tapi jan
gan tinggal solat ye!!!

Kawasan Sayong Lembah yang sedang dibangunkan. Dahulu semasa aku bersekolah rendah, kawasan tersebut dijadikan kawasan perkhemahan pengakap sekolah-sekolah rendah Daerah Kuala Kangsar.

Jambatan yang menghubungkan taman dengan kawasan 'Bawah Lembah'

Kawasan pentas terbuka

Air Sungai Perak yang mudik ke Hilir Perak

Kuala Sungai Kangsar, kelihatan Jambatan Sultan Abdul Jalil yang menghubungkan Bandar Kuala Kangsar dengan Sayong

Kawasan dalam taman (1)

Kawasan dalam taman (2)

Kawasan dalam taman (3)

Kawasan dalam taman (4)


~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Wednesday, January 27, 2010

Jadual Perancangan Aktiviti


Dengan Nama Allah Yang Memiliki Setiap Sesuatu

Di bawah ialah senarai beberapa aktiviti yang aku rancang untuk lakukan / sertai sepanjang beberapa hari akan datang dalam minggu ini. Harap-harap aku dapat menjalankan / menyertai semua aktiviti yang dirancangkan ini.

Jumaat (29/01/2010)
- Menghadiri kuliah maghrib di Markas PAS Kampung Ketior, yang disampaikan oleh Ustaz Nor Azli Musa (kalau tidak silap).

Sabtu (30/01/2010)
- 8.30 pagi: Menyertai lawatan ke Kedah bersama tenaga pengajar Sekolah Rendah Al-Furqan, Kuala Kangsar.

- Malam: Menghadiri ceramah umum di Bukit Chandan, Kuala Kangsar selepas solat Isyak. Masih tiada maklumat tentang penceramah.

Ahad (31/01/2010)
- Pagi: Menghadiri Program Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) di Darul Ta'alim, Kubu Gajah, Selama. InsyaAllah bertolak dengan Pemuda PAS Kuala Kangsar. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati dengan melayari blog Pemuda PAS Perak.(klik sini)

klik gambar untuk paparan lebih jelas


Semoga Allah memudahkan perjalanan aku dan sahabat-sahabat untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ameen.


~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Tuesday, January 26, 2010

Perkembangan Bola Sepak Perak 09/10


Dengan Nama Allah, Rabb seluruh alam...


Liga Super musim 2009/2010 sudah kira-kira sebulan menjenguk. Namun tiada coretan yang aku catatkan tentang pasukan Perak bagi musim ini. Bagi musim ini, skuad Perak telah menyenaraikan 15 orang pemain dari musim lepas dan 6 orang pemain baharu yang berpindah daripada pasukan lain, termasuk bekas pemain pertahanan Perak, K. Nanthakumar. Dibawah ialah senarai pemain skuad Perak musim 2009/2010:


Disebalik pelbagai kontroversi yang melanda skuad ini sebelum musim bermula; masalah tunggakan gaji pemain lama, ura-ura EGM untuk menjatuhkan YB Ir. Nizar Jamaluddin sebagai Presiden, kekangan kewangan dll, akhirnya skuad ini berjaya juga dibentuk di bawah kendalian jurulatih Raja Azlan Shah Raja So'ib.


Sehingga kini, Perak telah mengharungi 5 perlawanan pusingan pertama, namun hanya berjaya mengumpul 5 mata dengan hanya 1 kemenangan dan 2 kali seri. Perak menang ke atas Johor (2-0) serta seri menentang Kedah (1-1) dan Kelantan (0-0). Namun kekalahan di catatkan ketika menentang Pahang (1-2) , Terengganu (1-3) dan Perlis (0-1).


Secara keseluruhannya, boleh dikatakan skuad yang ada ini mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain yang lebih kuat. Para pemain telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila berjaya mengikat Kedah dan Kelantan. Pada musim lepas, Perak kalah kepada pasukan-pasukan ini bagi semua perlawanan.


Diharapkan pasukan Perak dapat mengekalkan momentum persembahan menarik yang dipamerkan dan seterusnya memberikan kemenangan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

SUMBER: seladang.net & yob4ever.com

~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Memetik Bunga


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Setelah lama tangan aku kematu, kini ia menjadi 'gatal' semula untuk menukil catatan baharu. Walaupun perasaan malas menjalar ke segenap ceruk tubuh badan, namun rasa rindu untuk menaip di blog ini mengatasi segala-galanya.


Pada 1 Safar 1431H yang lepas; bersamaan 17 Januari 2009, aku dan beberapa orang ahli keluarga dan jiran telah pergi ke Hutan Melintang dengan tujuan untuk memetik bunga di laman orang. Untuk makluman, Hutan Melintang bukanlah sebuah kawasan hutan hujan mahupun hutan simpan paya bakau. Ia adalah sebuah pekan (?) yang semakin pesat membangun.


Berbalik kepada cerita asal, rombongan kami pergi dengan menaiki 2 buah kereta buatan Malaysia. Bunga yang ingin dipetik itu untuk siapa? Bukan untuk aku, tapi untuk abang aku yang berumur 27 tahun tu. Perjalanan dari Kuala Kangsar bermula pada jam 10 pagi, melalui pekan Paris (loghat tempatan: PARIT), pekan Bolton (loghat tempatan: BOTA), Seberang Perak, Teluk Intan dan akhirnya tiba di Hutan Melintang kira-kira 2 jam setengah kemudian.


Perjalanan yang begitu jauh namun menyeronokkan. Menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan flora fauna yang begitu mengasyikkan. Dengan deretan pokok-pokok pisang, ladang kelapa sawit, parit-parit yang bersih, sawah padi yang menghijau kekuning-kuningan, dan sebagainya. Pendek kata, perjalanan itu memang tidak membosankan.

Deretan pokok pisang yang menghijau di sepanjang perjalanan


Abang Khairul memandu dengan penuh berhemah sambil tersenyum. Siapa Abang Khairul ini? Beliau bukanlah prebet sapu, tapi beliau ialah abang ipar aku!!!


Mak & abah aku yang kepenatan...speechless.


Setelah perbincangan di antara kedua belah pihak, maka dipersetujui untuk mengadakan walimah kira-kira 5 bulan lagi. InsyaAllah, jika tiada aral melintang dan diizinkan Allah, majlis di rumah perempuan akan diadakan pada hujung bulan Mei 2009 dan di rumah lelaki pada pertengahan bulan Jun 2009. Semoga majlis yang mulia ini akan di permudahkan oleh Allah.


Mak aku sedang menyarungkan 'cincin tanda' ke jari bakal menantu beliau..


~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Wednesday, October 28, 2009

Proton...ohh..Proton

(klik gambar untuk paparan lebih jelas)

Poster diatas menunjukkan promosi jualan kereta Proton (Persona, Gen2, Waja) yang dilakukan di negara Timur Tengah. Aku tak pasti bila tarikh promosi tersebut dijalankan tetapi ia adalah promosi sempena Ramadhan (perhatikan 'Best Ramadan Offer'). Seperti yang dicatatkan, Proton Persona berharga Saudi Riyal (SR) 41,300 dijual SR 36,100, Proton Gen2 berharga SR 39,500 dijual SR 33,600 dan Proton Waja berharga SR 39,400 dijual SR 37,950. (UNTUK MAKLUMAN: ketika ini Saudi Riyal, SR = RM 0.912478, ini menunjukkan bahawa Ringgit Malaysia (RM) adalah lebih kukuh daripada SR).

Untuk harga jualan terkini bagi ketiga-tiga jenis kereta Proton ini di pasaran tempatan (kategori terendah bagi setiap model), aku telah merujuk kepada laman sesawang ini <ProtonClub>. Menurut maklumat yang dipaparkan, harga atas jalan (OTR) bagi Proton Persona (dari RM 44,999 hingga RM 55,800), harga OTR Proton Gen2 1.3 Auto (RM 46,388), dan harga OTR Proton Waja 1.6 Manual Campro Premium (RM 59,388). Sekarang, anda bandingkan harga jualan dalam negara dengan Proton yang dijual di luar negara. Puas hati?

Bagaimana hal ini boleh berlaku? Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia (negara pengeluar Proton) patut mendapat harga yang jauh lebih rendah berbanding rakyat di negara pengimport kereta tersebut. Ini sebaliknya yang berlaku. Ibarat kata pepatah 'kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan'.


~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Sudoku


Dengan Nama Allah Yang Maha Pandai Lagi Maha Bijaksana

APA ITU SUDOKU?


Anda tahu apa itu permainan 'SUDOKU'? Menurut sumber ensiklopedia dalam talian <wikipedia>, Sudoku; yang bermaksud nombor tunggal dalam bahasa Jepun, telah dipopularkan pada tahun 1986 oleh sebuah syarikat Jepun, Nikoli dan telah menjadi kegilaan diseluruh dunia sejak 2005. Ia adalah permainan berasaskan logik dan teka-teki yang menggabungkan nombor & kedudukan. Ia terdiri daripada kotak-kotak segiempat sebanyak 9 kotak besar (didalamnya mengandungi 3x3 kotak-kotak kecil). Maklumat lanjut sila rujuk di sini.

Aku menyedari akan kewujudannya kira-kira setahun yang lalu. Sejak mula mencubanya, aku terus terpikat dengan permainan ini. Aku menyukainya kerana ia memerlukan aku berfikir justeru mengaktifkan neuron-neuron otak aku. Permainan ini tidak merbahaya seperti Dart atau sukan-sukan ekstrim yang lain. Ia tidak juga terlalu kompleks seperti permainan catur atau Rubic's Cube. Ia hanya memerlukan set soalan yang boleh didapati dari mana-mana sahaja majalah atau akhbar seperti New Straits Times atau The Star. Anda boleh juga memuat-turun nya dari pelbagai laman sesawang yang bersepah di internet. Cuma taip perkataan 'sudoku' dan enjin carian seperti Google dan Yahoo! akan mencari laman sesawang berkaitan permainan menarik ini. Dan, perkara paling penting adalah anda perlu menggunakan minda yang waras kurniaan Allah itu untuk menyelesaikan puzzle tersebut. Itu sahaja!

APA FAEDAHNYA?

Antara faedah-faedahnya ialah, selain daripada menajamkan minda anda, masa terluang anda juga akan turut terisi. Ini sekaligus dapat mengelakkan diri anda daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti merempit, seks bebas, merokok, meragut, menagih dadah, berfoya-foya dengan bukan mahram dan sebagainya. Contoh yang lain, anda boleh mengisi masa senggang anda ketika menunggu bas, ketika menaiki tren, ketika iklan semasa menonton rancangan kegemaran anda di televisyen, dan ketika mendodoikan bayi anda di dalam buaian dengan bermain permainan minda ini. Selain itu juga, ia dapat melatih diri anda bersikap sabar terutamanya dalam menyelesaikan permasalahan yang kompleks.

PENUTUP

Untuk itu, adalah disarankan agar anda yang belum mencuba permainan minda ini untuk mencubanya dengan kadar segera. Aku sarankan juga kepada para guru untuk mengajak anak-anak murid anda mencuba permainan ini di dalam kelas, seterusnya dapat menambah minat mereka kepada subjek Matematik. Dan kepada yang telah addict kepada permainan ini, teruskan minat anda tetapi jangan sampai melalaikan diri daripada menunaikan tanggungjawab yang utama sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini, dan JANGAN SAMPAI TINGGAL SOLAT YE!!!

Selamat mencuba...

p/s: Sebahagian link Sudoku :-

<WebSudoku> <DailySudoku> <Sudoku> <SudoWeb>

~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~

Tuesday, October 13, 2009

A New IIUM Alumnus


~ Dari Hati Turun Ke Pena Yang Menari ~